Umum

1. Apa itu Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) merupakan satu platform secara dalam talian yang bertujuan untuk menggalakkan pewujudan masyarakat penyayang dan merealisasikan "Kebajikan Tanggungjawab Bersama" dalam kalangan masyarakat.

Pelaksanaannya adalah melalui kolaborasi strategik di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sektor kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan individu berdasarkan kepada Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility – CSR), “Komuniti untuk Komuniti” dan nilai “Berkat Berjasa”.

2. Apakah tujuan Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Tujuan Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) adalah untuk:
(i) menggalakkan supaya Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) berdaftar dengan JKM;
(ii) mewujudkan mekanisme permintaan dan pembekalan (demand and supply) yang sistematik dan terkini serta secara global dan dalam talian;
(iii) menyediakan satu kaedah alternatif untuk mendapatkan sumbangan oleh PSK yang berdaftar selain daripada menggunakan kaedah yang sedia ada;
(iv) memudahkan sektor kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menyalurkan sumbangan kepada PSK yang berdaftar berdasarkan keperluan yang dikehendaki;
(v) menyediakan satu platform pengurusan permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang lebih sistematik, teratur dan cekap; dan
(vi) menyediakan satu platform pengurusan sukarelawan JKM yang lebih sistematik, teratur dan cekap.

3. Apakah aktiviti yang boleh saya dapat melalui Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) merangkumi lima (5) komponen utama:
(i) Pendaftaran Profil Pertubuhan Sukarela Kebajikan
(ii) Keperluan Pertubuhan Sukarela Kebajikan
(iii) Sumbangan Keperluan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan
(iv) Pengurusan permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan
(v) Pengurusan Sukarelawan

4. Bagaimanakah cara untuk mendaftar sebagai pengguna Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

(i) Orang Awam:
Orang awam tidak perlu mendaftar sebagai pengguna Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti).

(ii) Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK):
PSK yang ingin membuat permohonan melalui sistem perlu berdaftar menggunakan menu Profil PSK>Daftar Profil pada menu utama sistem. Keterangan lanjut sila rujuk kepada Soalan Lazim Modul Pendaftaran Profil Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

5. Apakah yang perlu dilakukan oleh PSK untuk log masuk ke dalam Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

PSK perlu ke menu Log Masuk, masukkan ID dan kata laluan yang telah dicipta bagi membolehkan pengguna log masuk ke dalam sistem.

6. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pengguna terlupa kata laluan?

Pengguna perlu ke menu Log Masuk, rujuk kepada pautan Lupa Kata Laluan dan masukkan e-mel pengguna berdaftar. Sistem akan menghantar e-mel notifikasi beserta pautan menukar kata laluan. Pautan adalah sah untuk tempoh 3 hari dan pengguna perlu menukar kata laluan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Sekiranya melebihi tempoh, pengguna perlu menghantar permohonan tukar kata laluan semula.

7. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan bantuan mengenai Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Pengguna boleh menghantar e-mel ke helpdesk_mycc@jkm.gov.my bagi mendapatkan bantuan atau pertanyaan mengenai Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti).

Profil Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)

1. Apakah maksud Pendaftaran Profil PSK?

Pendaftaran Profil PSK bermaksud PSK perlu mendaftar profil PSK masing-masing bagi membolehkan PSK log masuk untuk akses ke lain-lain perkhidmatan yang ditawarkan dalam Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti).

2. Apakah dokumen yang diperlukan untuk Pendaftaran Profil PSK?

PSK hanya perlu merujuk kepada Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau di bawah Undang-Undang Tubuh yang lain.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan sukarelawan di PSK?

Sukarelawan adalah individu yang bertugas di pejabat pentadbiran PSK atau di pusat latihan kemahiran kendalian PSK.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan penjaga di PSK?

Penjaga adalah petugas/warden yang tinggal di asrama bersama penghuni PSK yang lain dan bertanggungjawab terhadap kebajikan penghuni.

5. Apakah yang dimaksudkan dengan penghuni di PSK?

Penghuni adalah individu yang menetap di asrama kendalian PSK.

6. Bagaimanakah cara untuk mendaftar profil PSK?

Proses pendaftaran Profil PSK adalah seperti berikut:
i. PSK perlu memasukkan nama PSK seperti yang didaftarkan dengan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau di bawah Undang-Undang Tubuh yang lain berserta nombor pendaftaran;
ii. PSK masukkan e-mel rasmi PSK atau e-mel yang bersesuaian;
iii. Masukkan kata laluan dan sahkan kata laluan;
iv. Lengkapkan Captcha yang diberikan;
v. Klik Hantar dan Mohon Permohonan PSK;
vi. Masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang telah dimasukkan semasa pendaftaran kemudian klik butang Log Masuk;
vii. Kemaskini dan lengkapkan profil; dan
viii. Klik butang Hantar Permohonan.

7. Bagaimanakah cara untuk mengemaskini profil PSK selepas proses pendaftaran dilaksanakan?

PSK perlu log masuk untuk pengemaskinian profil dan menghantar permohonan. Masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang telah dimasukkan semasa pendaftaran kemudian klik butang Log Masuk. Skrin Halaman Utama Sistem akan dipaparkan selepas pengguna log masuk.

8. Bagaimanakah cara untuk menyemak status pendaftaran Profil PSK secara dalam talian?

PSK perlu log masuk untuk menyemak status pendaftaran. Status terkini akan dipaparkan pada halaman utama selepas PSK log masuk.

Keperluan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)

1. Bagaimanakah Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) membantu memudahkan pemberian sumbangan orang awam kepada PSK?

Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) menyediakan satu platform mengenai maklumat keperluan PSK dan membolehkan mana-mana pihak yang berhasrat melakukan Tanggungjawab Sosial Korporat atau memberi sumbangan untuk membantu golongan yang berkeperluan, mengetahui keperluan sebenar yang disenaraikan oleh PSK, dan seterusnya memberi sumbangan yang bersesuaian dan menepati keperluan PSK melalui kaedah suai padan (matching).

2. Apakah jenis sumbangan dan keperluan yang boleh dimasukkan oleh PSK dalam Senarai Keperluan melalui Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

PSK boleh menyatakan senarai keperluan berdasarkan kategori yang dipaparkan dalam skrin tambah keperluan, di antaranya makanan, pakaian, peralatan, latihan, kemahiran dan wang tunai mengikut keperluan sebenar bagi suatu masa tertentu.

Nota:
Sumbangan keperluan adalah berlaku di luar sistem. Semua urusan penyaluran sumbangan hendaklah diuruskan terus oleh penyumbang bersama PSK dengan mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa semasa.

Sumbangan Keperluan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan

1. Bagaimana saya boleh memberi sumbangan kepada PSK melalui Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada PSK boleh melayari Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) (melalui pautan: https://komuniti.jkm.gov.my/) yang memaparkan Senarai Keperluan yang telah dimasukkan oleh PSK.
Berikut adalah langkah-langkah bagi sumbangan keperluan daripada orang awam kepada PSK:
(i) Layari Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)
(ii) Rujuk Senarai Keperluan pada Halaman Utama Sistem
(iii) Klik butang Sumbangan untuk menambah maklumat sumbangan
(iv) Lengkapkan Borang Maklumat Sumbangan dan Simpan

*Nota:
Sumbangan keperluan adalah berlaku di luar sistem. Semua urusan penyaluran sumbangan hendaklah diuruskan oleh penyumbang bersama PSK dengan mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa semasa.

2. Adakah saya perlu berdaftar terlebih dahulu sekiranya ingin menyumbang kepada PSK?

Anda tidak perlu mendaftar sebagai pengguna untuk membuat sumbangan kepada PSK.

3. Adakah saya perlu mengemukakan permohonan rasmi terlebih dahulu sebelum menyalurkan sumbangan kepada PSK?

Anda tidak perlu membuat permohonan rasmi terlebih dahulu sekiranya ingin menyalurkan sumbangan terus kepada PSK, sebaliknya boleh terus mengisi maklumat ke dalam skrin sumbangan Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti).

4. Adakah saya boleh memilih PSK yang akan menerima sumbangan?

Ya, anda boleh memilih PSK yang dipaparkan dalam skrin Senarai Keperluan.

5. Bagaimana saya memastikan sumbangan diberikan kepada PSK yang berkelayakan dan berdaftar?

Hanya PSK yang berkelayakan dan berdaftar di bawah Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau di bawah Undang-Undang Tubuh yang lain dan/atau Akta Pusat Jagaan 1993 boleh mendaftarkan profil PSK masing-masing dalam Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti).

6. Bagaimana saya tahu jenis sumbangan dan keperluan PSK agar sumbangan yang saya berikan adalah menepati keperluan mereka?

Anda boleh memberi sumbangan kepada PSK dalam bentuk tunai atau pun barangan, makanan, pakaian, peralatan, latihan, kemahiran dan sebagainya mengikut senarai keperluan sebenar yang dimasukkan oleh PSK bagi suatu masa tertentu.

Nota:
Sumbangan keperluan adalah berlaku di luar sistem. Semua urusan penyaluran sumbangan hendaklah diuruskan oleh penyumbang bersama PSK dengan mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa semasa.

7. Bagaimana saya boleh mengetahui sumbangan telah diterima oleh PSK yang dipilih?

Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti) akan menghantar notifikasi melalui e-mel kepada penyumbang setelah PSK mengesahkan penerimaan sumbangan.

Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan

1. Apakah maksud Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) ?

Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) bermaksud permohonan berhubung bantuan kewangan yang diberikan kepada PSK yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar JKM iaitu warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak. Tujuan pemberian bantuan ini adalah untuk menampung sebahagian kos yang ditanggung oleh PSK dalam menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan sasar JKM.

2. Apakah jenis Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang diberikan?

Terdapat beberapa jenis Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang diberikan seperti berikut:
i. Pentadbiran

Bantuan yang diberikan bagi menampung sebahagian kos pentadbiran PSK Kebangsaan dan Negeri seperti sewaan premis, utiliti dan Saguhati Sukarelawan di Pentadbiran PSK.

ii. Rangsum

Bantuan yang diberikan bagi menampung sebahagian kos perbelanjaan makan dan minum kepada penghuni PSK yang tidak menerima bantuan kewangan lain.

iii. Elaun Khas Murid OKU

Bantuan bulanan yang diberikan kepada pelatih OKU yang mengikuti program pemulihan di Sekolah Pendidikan Khas kelolaan PSK.

iv. Pembaikan

Bantuan yang diberikan kepada PSK untuk membaik pulih premis yang menjejaskan perjalanan pentadbiran dan aktiviti PSK yang menjalankan Pusat Jagaan Harian dan Pusat Jagaan Berkediaman.

v. Per Kapita

Bantuan yang diberikan kepada Sekolah Pendidikan Khas kendalian PSK yang mempunyai sijil perakuan pendaftaran diri dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

3. Bagaimanakah cara untuk memohon Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) secara dalam talian melalui Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti). Proses permohonan adalah seperti berikut:
i. PSK perlu klik masuk pada butang Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan;
ii. Klik Mohon Bantuan Kewangan Kerajaan;
iii. Lengkapkan maklumat yang diperlukan;
iv. Masukkan jenis Bantuan Kewangan Kerajaan yang diperlukan; dan
v. Klik simpan.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan Jenis Permohonan Baharu dan Sedia Ada?

Jenis Permohonan Baharu bermaksud PSK yang tidak pernah menerima apa-apa jenis Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada PSK daripada JKM sebelum ini.
Manakala, Jenis Permohonan Sedia Ada bermaksud PSK pernah menerima Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada PSK daripada JKM.

5. Bagaimanakah cara untuk menyemak status permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan secara dalam talian?

PSK yang telah berjaya menghantar permohonan akan dipaparkan dengan skrin Maklumat Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan. Semakan status permohonan boleh dibuat dengan klik butang Permohonan Bantuan Kewangan dan klik Senarai Permohonan Bantuan Kewangan.

Pengurusan Sukarelawan

1. Siapa itu Sukarelawan JKM?

Sukarelawan JKM adalah individu yang memberi khidmat sukarela dalam mengesan kes-kes yang memerlukan perkhidmatan dan bantuan kebajikan masyarakat di samping menjadi sukarelawan yang peka dan komited dengan kerja-kerja kebajikan masyarakat berasaskan keperluan kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat.

2. Mengapa Sukarelawan JKM ditubuhkan?

Sukarelawan JKM ditubuhkan sejajar dengan matlamat Dasar Kebajikan Negara (1990) iaitu untuk mewujudkan budaya ikram (tolong-menolong) dalam kalangan masyarakat di negara ini, selain membentuk masyarakat penyayang seperti yang diilhamkan dalam Wawasan 2020 dan saranan Dasar Sosial Negara (2003). Umumnya, penubuhan Sukarelawan JKM ini menepati konsep “kebajikan tanggungjawab bersama” yang menggalakkan semua pihak warga Malaysia menyumbang dan terlibat sama dalam aktiviti atau inisiatif bagi melahirkan masyarakat sejahtera.

3. Apakah syarat-syarat permohonan menjadi Sukarelawan JKM?

Syarat permohonan adalah:
i. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas;
ii. Bersedia dan berminat serta sukarela dalam kerja- kerja kebajikan kepada klien jabatan;
iii. Sihat fizikal dan mental; dan
iv. Tiada sebarang rekod jenayah.

4. Apakah peranan dan tanggungjawab Sukarelawan JKM?

Sukarelawan JKM berperanan membantu dan memberi sokongan bagi memenuhi keperluan sosial, kebajikan dan emosi kumpulan sasar JKM dalam program Pembangunan Komuniti, Program Khidmat Bantu Di Rumah, Program Khidmat Bantu Di Institusi dan Program Pengurusan Bencana.
Terdapat sepuluh peranan khusus Sukarelawan JKM dalam melaksanakan program dan aktiviti kepada kumpulan sasar JKM. Antaranya adalah seperti berikut:
• perantara/perujuk;
• penggerak/pemangkin;
• pembimbing;
• pemudahcara/fasilitator;
• pengiring;
• pemberi jagaan;
• penunjuk ajar;
• pengasuh;
• pendidik; dan
• pendorong/motivator.

5. Apabila saya menjadi Sukarelawan JKM, adakah saya akan menerima sebarang bayaran atau elaun?

Tiada sebarang bayaran atau elaun diberikan kepada Sukarelawan JKM. Aktiviti kesukarelaan JKM adalah berasaskan kepada konsep di mana kerja sukarela adalah satu kegiatan menolong atau perkongsian yang dilakukan dengan ikhlas dan rela hati, tanpa paksaan oleh sesiapa dan tanpa mengharapkan balasan. Matlamatnya adalah untuk memanfaatkan pihak yang dibantu.

6. Adakah Sukarelawan JKM disediakan pengangkutan bagi Sukarelawan JKM yang bertugas?

Pengangkutan adalah tidak disediakan. Sukarelawan JKM perlu menguruskan sendiri pengangkutan bagi memberikan perkhidmatan kerja sukarela ini.

7. Bilakah waktu untuk saya bertugas sebagai Sukarelawan JKM?

Waktu perkhidmatan Sukarelawan JKM adalah tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian. Sukarelawan JKM boleh berbincang dengan Pegawai Penyelaras Komuniti JKM Daerah/Jajahan/Bahagian tentang hari dan masa yang sesuai untuk bertugas.

8. Apakah jenis perkhidmatan yang boleh diberikan oleh Sukarelawan JKM?

Sukarelawan JKM boleh terlibat dalam:
i. Program pembangunan dan pemerkasaan komuniti
ii. Program Khidmat Bantu Di Rumah
iii. Program khidmat bantu di institusi
iv. Program pengurusan bencana

9. Di manakah boleh saya bertugas sebagai Sukarelawan JKM?

Sukarelawan JKM boleh memberi khidmat sukarela di tempat yang memerlukan perkhidmatan mereka mengikut keperluan dan kesesuaian. Di antaranya:
i. Kediaman kumpulan sasar JKM
ii. Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
iii. Depoh/Stor Bencana JKM
iv. Institusi kebajikan
v. Tempat-tempat lain yang dikenal pasti oleh JKM

10. Adakah saya boleh memohon untuk menjadi Sukarelawan JKM secara dalam talian melalui Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti)?

Ya, anda boleh memohon untuk menjadi Sukarelawan JKM melalui Modul Pengurusan Sukarelawan > Daftar Sukarelawan dalam Sistem Maklumat Perkhidmatan Komuniti (e-Komuniti).

11. Adakah saya perlu memuat naik gambar saya bagi permohonan menjadi Sukarelawan JKM?

Ya, anda perlu muat naik gambar berukuran passport dan berlatar belakang warna putih bagi tujuan pendaftaran sukarelawan dan pengeluaran Kad Kenal Diri Sukarelawan JKM.